KULAI: Polis menahan pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.59 juta dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini, Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, hasil risikan berterusan pihak polis dengan kerjasama orang awam, seorang lelaki berusia 40 tahun bersama isterinya yang berusia 34 tahun ditahan pada pukul 10.50 pagi.
Katanya, penahanan itu dibuat selepas pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam rumah itu menemui pelbagai jenis dadah.
“Kita merampas 16 paket plastik disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 21,766 gram; 44 paket plastik atau 1,888 gram serbuk ekstasi; 1,621 biji atau 570 gram pil ekstasi; 6,400 biji pil erimin 5 dan tiga peket ketamin.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 26.94 kilogram dengan nilai pasaran dadah dianggarkan bernilai RM3.59 juta dan jumlah dadah yang dirampas itu mampu digunakan oleh kira-kira 90,277 orang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita tiga kereta, wang tunai RM25,000 dan pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM206,752.
“Kedua-dua suspek yang berperanan sebagai pengedar dadah dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak awal Januari lalu. Urin mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, isterinya negatif sebarang penyalahgunaan dadah.
“Modus operandi digunakan adalah dengan menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN










