Solidariti Mexico-Iran curi tumpuan di Stadium SoFi

Solidariti Mexico-Iran curi tumpuan di Stadium SoFi

PENYOKONG Iran memegang plakat dengan mengucapkan penghargaan kepada penyokong Mexico yang turut memberikan sokongan kepada mereka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INGLEWOOD: Dalam suasana Piala Dunia yang lazimnya diserikan dengan semangat kesukuan dan persaingan sengit antara negara, satu kisah luar biasa tercetus di Stadium SoFi apabila sekumpulan peminat dari Mexico tanpa ragu-ragu memberi sokongan kepada Iran ketika menentang Belgium.

Lebih menyentuh hati, ada dalam kalangan mereka sanggup memandu berjam-jam dari Tijuana ke Los Angeles serta bangun seawal jam 4 pagi semata-mata untuk berada di stadium dan menyokong pasukan yang bukan negara mereka.

Antara mereka ialah Alan Romero, 35, yang hadir lengkap dengan jersi Mexico namun lantang menyokong Iran sepanjang perlawanan berlangsung.

“Pasukan kedua kami untuk Piala Dunia ini ialah Iran,” katanya kepada media, menggambarkan hubungan solidariti yang tidak disangka antara penyokong Mexico dan skuad Team Melli.

Sorakan penonton yang majoritinya warga Latin jelas kedengaran setiap kali Iran melancarkan serangan, malah lebih mengejutkan apabila gol hampir terhasil daripada pasukan itu sebelum dibatalkan pengadil kerana ofsaid, disambut dengan laungan bantahan daripada penonton.

REAKSI penyokong Iran selepas pasukan mereka seri tanpa jaringan menentang Belgium dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026, semalam. – AFP

Fenomena sokongan luar biasa itu dikatakan tercetus susulan rasa simpati terhadap isu yang melanda pasukan Iran, termasuk dakwaan layanan tidak adil berkaitan visa dan perjalanan menjelang kejohanan berprestij tersebut.

Difahamkan, beberapa pegawai Iran sebelum ini menghadapi kesukaran memasuki Amerika Syarikat (AS), sekali gus memaksa pasukan itu menukar lokasi kem latihan ke Tijuana, Mexico.

Keadaan itu tanpa disangka mencetuskan hubungan mesra antara komuniti Mexico dan Iran, terutama di bandar Los Angeles yang mempunyai populasi Latino yang besar.

Seorang peminat, Nikkole Martinez, 24, berkata dia menyokong Iran atas dasar keadilan, bukan politik.

“Pada akhirnya mereka hanya pemain bola sepak yang mahu bermain. Mereka perlu dilayan sama seperti pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, penyokong lain dari Tijuana, Jaen Pina, 25, turut menyuarakan pandangan sama, menyifatkan kelebihan rehat yang diperoleh pasukan Belgium berbanding Iran sebagai satu ketidakadilan ketara.

REAKSI penyokong Mexico yang turut memberi sokongan kepada Iran ketika menentang Belgium, semalam – AFP

“Ini tidak masuk akal. Mereka (Iran) jelas berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain Iran, Mehdi Taremi dilaporkan menghargai sokongan luar jangka tersebut, malah mengucapkan terima kasih kepada penyokong Mexico yang memberikan semangat kepada pasukannya.

Namun di sebalik sorakan di dalam stadium, suasana turut diselubungi realiti politik apabila sebahagian diaspora Iran di Los Angeles dilaporkan bertindak mencemuh lagu kebangsaan sebagai tanda protes terhadap kerajaan negara mereka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN