PUEBLA: Sepanyol menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Peru 3-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka sebelum sepak mula Piala Dunia 2026.
Juara Eropah itu turun tanpa bintang muda Barcelona, Lamine Yamal yang masih dalam proses pemulihan kecederaan, namun ia tidak menjejaskan kekuatan pasukan kendalian Luis de la Fuente.
Sepanyol membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Mikel Oyarzabal yang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Dominasi Sepanyol diteruskan apabila pemain tengah Barcelona, Pedri menggandakan kedudukan pada minit ke-32 sebelum kesilapan penjaga gol Peru, Pedro Gallese membawa kepada gol ketiga Sepanyol lapan minit selepas separuh masa apabila hantaran silang gagal ditangkap kemas.
Peru berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Jairo Velez pada minit ke-66, namun ia sekadar gol sagu hati di hadapan kira-kira 46,000 penonton.
Kemenangan itu memberi tonik berguna buat Sepanyol menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Cape Verde pada 15 Jun ini. – AFP










