Scheffler, McIlroy ketinggalan lapan pukulan

Scheffler, McIlroy ketinggalan lapan pukulan di Kejohanan Memorial

Scottie Scheffler
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN, Ohio: Dua pemain golf terbaik dunia, Scottie Scheffler dan Rory McIlroy berdepan cabaran besar untuk memburu kejuaraan selepas ketinggalan lapan pukulan di belakang pendahulu, JT Poston, pada penghujung pusingan kedua Kejohanan Memorial di Muirfield Village Golf Club.

Scheffler yang merupakan pemain No. 1 dunia dan memburu gelaran ketiga berturut-turut dalam kejohanan berprestij itu gagal mempamerkan aksi terbaik apabila mencatat par keseluruhan 72 pukulan.

Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 29 tahun itu melakukan bogey di lubang kelapan, kesembilan dan ke-10 sebelum bangkit dengan tiga birdie pada sembilan lubang terakhir untuk menamatkan saingan pada satu pukulan melebihi par keseluruhan selepas dua pusingan.

“Sejujurnya saya merasakan seperti akan mencatat sekitar 90 pukulan hari ini (kelmarin).

“Ini mungkin antara persembahan pukulan paling buruk yang pernah saya lakukan dalam tempoh beberapa tahun, namun saya masih mampu mencatat par di padang yang memerlukan ketepatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, McIlroy dari Ireland Utara turut bergelut apabila mencatat dua pukulan melebihi par, 74 pukulan dalam pusingan kedua.

Juara enam kejohanan utama itu melakukan satu double bogey, dua bogey dan hanya satu birdie dalam enam lubang terakhir, sekali gus menyaksikannya turut berada jauh di belakang kelompok pendahulu.

Kejohanan itu merupakan penampilan ketiga McIlroy sejak menjuarai Masters pada April lalu dan menjadi satu-satunya kejohanan persediaannya sebelum menghadapi saingan Terbuka AS bulan ini.

Dalam pada itu, Poston yang menghuni ranking ke-94 dunia mencuri tumpuan apabila mencatat tujuh pukulan di bawah par, 65 pukulan, untuk mendahului carta dengan keseluruhan sembilan pukulan di bawah par.

Pemain berusia 33 tahun itu yang memiliki tiga kemenangan Jelajah PGA kini berada satu pukulan di hadapan rakan senegaranya, Ryan Gerard.

Pemain England, Tommy Fleetwood pula berada di kedudukan keempat, lima pukulan di belakang Poston, manakala seorang lagi pemain England dan juara PGA, Aaron Rai berada pada satu pukulan di bawah par. – AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN