ARLINGTON: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni memberi bayangan jelas bahawa juara bertahan itu memiliki kekuatan sebenar di setiap posisi apabila skuad yang dibarisi pemain simpanan masih mampu membenam Jordan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan J Piala Dunia 2026, sebentar tadi.
Walaupun melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama, Argentina tetap menguasai perlawanan untuk melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod sempurna sembilan mata, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai antara calon utama menjulang trofi.
Hanya penjaga gol, Emiliano Martinez dan penyerang, Lautaro Martinez dikekalkan dalam kesebelasan utama, manakala beberapa tonggak utama direhatkan sebagai persiapan menghadapi Cape Verde pada pusingan 32 di Miami, Jumaat ini.
Bagi Scaloni, kemenangan itu bukan sekadar memastikan momentum pasukan terus terpelihara, malah memberi peluang kepada pemain yang kurang beraksi membuktikan kemampuan mereka menjelang fasa kalah mati.
“Apa yang kami mahukan ialah pemain yang belum beraksi mendapat minit permainan kerana mereka memang layak.Saya gembira kerana semua pemain mendapat peluang dan itu sangat penting buat kami,” katanya.
Keputusan Scaloni merehatkan pemain utama turut menyaksikan Lionel Messi hanya dimasukkan selepas sejam permainan, namun kehadiran kapten Argentina itu tetap menjadi tumpuan puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium.
Messi tidak mengambil masa lama untuk mencuri perhatian apabila menyempurnakan sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol Jordan, sekali gus muncul pemain pertama dalam sejarah menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan Piala Dunia berturut-turut.
Gol tersebut hadir ketika Argentina mendahului tipis 2-1, sekali gus mematikan sisa-sisa kebangkitan Jordan sebelum juara dunia itu melengkapkan kemenangan bergaya.
Lebih menggembirakan Scaloni, kesemua pemain padang yang dibawanya ke kejohanan kali ini sudah diberi peluang beraksi, sekali gus membuktikan kedalaman skuad Argentina berada pada tahap terbaik menjelang aksi kalah mati.
Dengan kombinasi pemain berpengalaman dan pelapis yang semakin menyerlah, Argentina kini dilihat semakin bersedia mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi empat tahun lalu.-AGENSI










