‘Saya di kerusi MB atas ketentuanNya, perkenan Raja Perlis’ - Utusan Malaysia

‘Saya di kerusi MB atas ketentuanNya, perkenan Raja Perlis’

ABU Bakar Hamzah dalam sesi penggulungan sesi DUN Perlis di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Abu Bakar Hamzah akan terus fokus menjalankan amanah dan tanggungjawab demi kebaikan rakyat di negeri ini dan tidak akan melayan sebarang tohmahan politik serta segelintir pihak yang masih mempertikai kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.

Beliau berada di kerusi Menteri Besar ketika ini adalah atas ketentuan Allah SWT dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tanpa membandingkan tiga tahun pemerintahan Menteri Besar terdahulu dengan lima bulan di era beliau, Abu Bakar menjelaskan, banyak perkara telah dilakukan dalam tempoh singkat tersebut khususnya demi kebajikan rakyat.

“Lima bulan saya di sini (Menteri Besar) adalah atas ketentuan Allah SWT dan perkenan Raja Perlis dan diharapkan ia tidak berterusan di polemik.

“Dalam lima bulan sahaja, kita telah laksanakan program imarah Ramadan, sumbangan Aidilfitri dan banyak lagi demi kebajikan rakyat. Kita dapat RM4 juta dari pusat dan daripada jumlah tersebut, RM1.5 juta disalurkan kepada rakyat sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini yang memanfaatkan hampir 20,000 penduduk.

“Selain itu, RM1 juta dibelanjakan untuk sambutan Jubli Perak, RM1 juta masih ada di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk diselaras Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan naik taraf Dataran Lok 9 dengan RM500,000 digunakan sedikit untuk Festival Rakyat dan RM200,000, belanja sumbangan lembu korban Aidiladha.

“Ini yang kita hendak, saya cukup bersyukur, orang hendak kata apa, katalah, ini politik, kalau ‘takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai’, kita reda. Kita juga tidak pernah menganaktirikan semua wakil rakyat di negeri ini,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Sidang DUN yang bermula 3 Jun berakhir semalam berjalan lancar tanpa ada sebarang usaha undi tidak percaya wakil rakyat Pas terhadap Menteri Besar.

Abu Bakar juga mengambil kesempatan pada sesi penggulungan tersebut bagi menjelaskan situasi sebenar berkaitan isu beliau menembak lembu korban pada Hari Raya kedua Aidiladha baru-baru ini bagi meleraikan sebarang kekeliruan serta mengelak daripada terus dijadikan bahan politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau juga sedikit kesal apabila isu tersebut yang diberi tumpuan berbanding usaha kerajaan negeri melalui sumbangan pelbagai pihak dalam menyediakan 120 ekor lembu yang diagihkan kepada semua wakil rakyat, senator, Speaker DUN dan agensi kerajaan untuk manfaat rakyat.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau sebagai Menteri Besar akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri.

“Kepada semua wakil rakyat, kita buat kerja tak kiralah hari ini kita bersama atau bercerai-berai, itu semua kuasa Allah SWT. Yang pasti saya sebagai Menteri Besar mewakili kerajaan PN, tetap mempertahankan dalam masa kita masih bersama dalam kerajaan PN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN