PUTRAJAYA: Jabatan Insovensi Malaysia (MdI) mengesahkan pulau dan helikopter adalah antara aset mewah yang akan dilelong dalam siri kelima Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Sabah, pada November nanti.
Pengarah Bahagian Likuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata, beliau dimaklumkan, kedua-dua aset itu kini berada di Sabah.
Beliau berkata, aset berkenaan asalnya dimiliki oleh syarikat yang kemudiannya bakal dilelong akibat kes kebankrapan.
“MDL bukan sahaja mentadbir isu kebankrapan individu tetapi kebankrapan syarikat atau juga dipanggil penggulungan syarikat.
“Itu (aset mewah) itu antara yang kami dapat kumpul di Sabah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri pertama Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di sini hari ini.
Ditanya nilai lelongan dan bidaan bagi dua aset itu, Mohd Mukhzany Fariz berkata, harga bidaan aset itu belum lagi dikeluarkan kerana ia perlu dinilai oleh Jabatan Penilaian terlebih dahulu.
“Apabila kita dah dapat nilainya, kita akan umum,” katanya.
Mengulas mengenai karnival itu, katanya, pihaknya menyasarkan 200,000 pengunjung bagi tiga hari karnival itu.
“Hari ini sahaja, kita anggarkan lebih 4,000 pengunjung hadir walaupun masih hari bekerja,” katanya.
Katanya, antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang tiga hari ini termasuk pembidaan aset yang disita oleh MdI; kaunter semakan status kes kebankrapan: sesi konsultasi dan khidmat nasihat secara percuma bersama pegawai MdI serta taklimat berkaitan proses pelepasan kebankrapan dan Dasar
Peluang Kedua. – UTUSAN










