PRN Johor: Parti kecil, baharu umum tanding meriahkan proses demokrasi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Parti kecil, baharu umum tanding meriahkan proses demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengumuman dibuat parti-parti politik kecil termasuk yang baharu untuk terlibat sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang bakal memeriahkan proses demokrasi negara.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan sehubungan itu berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bertanding.

“Menerusi semangat demokrasi, mana-mana parti politik yang mahu bertanding tidak boleh dihalang. Tetapi bagi BN, kami masuk pilihan raya untuk menang, itu falsafah kita.

“Selamat bertanding kepada semua pihak, kehadiran parti-parti politik baharu ini yang telah umum bertanding pada PRN Johor akan memeriahkan proses demokrasi di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan bahawa Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang ditubuhkan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin akan terlibat bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya akan menghantar calon daripada Wawasan untuk bertanding kedua-dua PRN itu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor memberitahu pihaknya tidak akan bertanding dimana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN ini.

“Saya telah maklumkan pucuk pimpinan bahawa tidak berhasrat untuk bertanding sama ada bagi kerusi DUN Benut atau Pulai Sebatang yang berada di dalam kawasan saya. Jadi saya umum tidak bertanding PRN Johor.

“Biarlah orang lain bertanding, saya sebagai Timbalan Pengerusi akan bantu kempen jentera. Mungkin di negeri lain Timbalan Pengerusi akan bertanding, tetapi tidak di Johor,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan yang sebelum ini tular mengatakan beliau merupakan bakal Menteri Besar Johor sekiranya BN kembali mentadbir negeri selepas PRN.

“Macam mana mahu menjadi Menteri Besar, bertanding (PRN Johor) pun tidak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN