KULAI: Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern memohon maaf kepada kerajaan negeri kerana membuat kenyataan tidak tepat ketika diumumkan sebagai calon kerusi berkenaan, malam tadi.
Sen Sern yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan berkata, dia turut menarik balik kenyataan yang dibuatnya ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu itu.
“Setelah membuat semakan lanjut, saya dapati kenyataan bahawa ‘tiada peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk tahun ini’ adalah tidak tepat.
“Sehubungan itu, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua pihak atas kekeliruan yang timbul akibat kenyataan tersebut. Saya juga menarik balik kenyataan berkenaan dan mengakui kesilapan yang berlaku adalah tidak disengajakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Sen Sern, pihaknya kesal dengan perkara tersebut dan menghargai teguran yang diterima daripada pelbagai pihak berhubung kenyataan itu.
“Saya dengan ini ingin membetulkan kesilapan dan menarik balik kenyataan berikut yang telah saya buat semasa Program Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu berhubung isu peruntukan Kerajaan Negeri bagi tahun ini,” katanya.
Semalam, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Sen Sern sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.-UTUSAN










