SEATTLE: Pengendali Australia, Tony Popovic mengakui pasukannya gagal menandingi intensiti permainan Amerika Syarikat (AS) sehingga terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Seattle, awal pagi tadi.
Selepas memulakan kempen dengan kemenangan ke atas Turkiye, skuad Socceroos kembali berpijak di bumi nyata apabila melepaskan dua gol pada separuh masa pertama yang memusnahkan hasrat untuk mengutip mata kedua berturut-turut.
Australia terlebih dahulu dihukum menerusi gol sendiri pada minit ke-11 sebelum Alex Freeman menambah derita pasukan pelawat dengan jaringan kedua menjelang tamat babak pertama.
Popovic mengakui anak buahnya terlalu perlahan dan gagal memberi tentangan yang sepatutnya.
“Kualiti mereka jelas, kekuatan mereka jelas dan atletik mereka juga jelas. Tiada kejutan dengan apa yang mereka lakukan, tetapi kami tidak mampu menandingi semua itu pada separuh masa pertama.
“Kami lambat dalam setiap perebutan bola dan sukar mendapatkan semula momentum. Gol yang kami bolos juga terlalu mudah, selain kami kelihatan lesu dan tidak bertenaga,” katanya.
Bagaimanapun, tiga pertukaran yang dilakukan Popovic sebaik babak kedua bermula berjaya mengubah corak permainan Australia yang tampil lebih agresif dan seimbang.
Menurutnya, meskipun kebanyakan pemainnya kurang pengalaman beraksi di liga elit dunia, beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan.
“Kami tidak mempunyai banyak pengalaman bermain di liga besar, tetapi reaksi pemain sangat baik. Mereka tidak mudah menyerah kalah,” katanya.
Popovic turut memuji kebangkitan pasukannya walaupun gagal menemui jaringan yang mampu mengubah keputusan perlawanan.
Sementara itu, pertahanan Australia, Harry Souttar menegaskan fokus pasukan kini terarah sepenuhnya kepada aksi terakhir Kumpulan D menentang Paraguay.
“Kami pasukan yang berdaya tahan. Sekarang masa untuk pulih dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Paraguay,” katanya.-AGENSI










