Polis terima 153 laporan terhadap Puad Zarkashi - Utusan Malaysia

Polis terima 153 laporan terhadap Puad Zarkashi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh negara setakat pukul 3 petang tadi berhubung kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menerusi akaun media sosial miliknya, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima dua laporan daripada seorang bekas exco kerajaan Negeri dan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, hari ini.

Katanya, dua laporan awal itu diterima pada pukul 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari sebelum gelombang laporan polis lain menyusul di seluruh Malaysia.

“Ekoran laporan mendadak itu, siasatan intensif kini dijalankan di bawah empat peruntukan undang-undang berat termasuk Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan juga merangkumi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan khianat awam dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penyalahgunaan kemudahan rangkaian, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

“Masyarakat diminta menghormati proses siasatan dan bersama-sama memastikan ruang digital kekal selamat melalui komunikasi yang matang, berfakta serta saling menghormati,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN