SEATTLE: Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino memuji semangat dan kedalaman skuadnya selepas berjaya mengesahkan tiket ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026nmeskipun beraksi tanpa tonggak utama, Christian Pulisic.
Kemenangan 2-0 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan D di Seattle, hari ini menyaksikan AS mengutip enam mata maksimum hasil dua kemenangan berturut-turut selepas sebelum ini membelasah Paraguay 4-1.
Menurut Pochettino, kejayaan itu membuktikan skuad kendaliannya tidak bergantung kepada seorang pemain semata-mata, sebaliknya dibina atas kekuatan kolektif.
“Jika kami mahu memenangi kejohanan ini, kami memerlukan seluruh pasukan. Semua pemain perlu memainkan peranan penting.
“Christian adalah pemain penting, tetapi pasukan ini mempunyai ramai pemain berkualiti yang bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan,” katanya.
AS terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-11 selepas pertahanan Australia, Cameron Burgess tertampan hantaran Folarin Balogun ke gawang sendiri.
Pasukan tuan rumah menggandakan kelebihan dua minit sebelum tamat babak pertama menerusi tandukan Alex Freeman yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan jaringan tersebut.
Freeman mengakui dia hampir hilang keyakinan ketika menunggu keputusan VAR, namun menyifatkan gol sulungnya di pentas Piala Dunia sebagai detik yang tidak akan dilupakan.
“Ia satu perasaan yang luar biasa. Pada mulanya gol itu dibatalkan dan saya agak gementar ketika VAR dibuat.Saya sangat emosional kerana anda sentiasa mengimpikan saat seperti ini,” katanya.
Australia yang melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama cuba bangkit pada babak kedua dengan kemasukan Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe, namun gagal mencipta ancaman bermakna ke gawang AS.
Jurulatih Australia, Tony Popovic mengakui anak buahnya terlalu berhati-hati pada separuh masa pertama sehingga memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.
“Saya tidak tahu sama ada disebabkan suasana perlawanan, tetapi kami kelihatan lesu dan lambat.Pemain menunjukkan kemampuan sebenar pada babak kedua, namun pada tahap ini anda tidak boleh memberi terlalu banyak ruang kepada lawan pada separuh masa pertama,” katanya.
AS kini sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati lebih awal dan bakal melengkapkan saingan Kumpulan D dengan menentang Turkiye di Los Angeles.
Freeman percaya kemenangan tanpa kelibat Pulisic menjadi bukti jelas bahawa skuad AS memiliki kekuatan dan persaingan sihat di setiap posisi.
“Christian sangat penting buat pasukan ini, tetapi jika dia tidak dapat bermain, pemain lain perlu tampil mengambil tanggungjawab.
“Ia menunjukkan kami mempunyai skuad yang kuat dan sesiapa sahaja yang diturunkan akan memberikan 100 peratus serta mendapatkan keputusan yang kami mahukan,” katanya.-AGENSI










