Pemandu treler maut dalam kemalangan enam kenderaan - Utusan Malaysia

Pemandu treler maut dalam kemalangan enam kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya dalam satu kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 31.9 arah Selatan dari Sedenak ke Kulai, hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairil Mohd. Adzami berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori kontena, sebuah treler membawa muatan besi pagar, sebuah pacuan empat roda, sebuah van, sebuah lori 10 tan membawa jubin dan sebuah lori satu tan.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 9.02 pagi, sebelum tiba di lokasi pada pukul 10.03 pagi susulan kesesakan trafik.

“Setibanya di lokasi, didapati empat kenderaan terbakar termasuk pacuan empat roda manakala van turut mengalami kemusnahan pada tahap yang sama.

“Dua lagi kenderaan iaitu treler yang membawa muatan besi pagar pula terbakar kira-kira 80 peratus, sementara lori 10 tan Nissan dan lori bonded satu tan masing-masing terbakar 60 peratus dan tidak mengalami kerosakan besar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Khairil, kejadian itu mengakibatkan pemandu treler iaitu lelaki berusia 30-an maut di lokasi kejadian selepas tercampak dari kenderaan dipandu.

“Empat mangsa lain iaitu pemandu pacuan empat roda berusia 29 tahun, dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun yang berada dalam van serta seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori bonded dilaporkan selamat.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera diberikan rawatan awal,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan memberitahu, lencongan mandatori dilakukan serta-merta di Plaza Tol Sedenak bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kesemua lorong menuju ke arah Selatan dilaporkan terhalang manakala laluan menuju ke arah Utara hanya boleh dibuka satu lorong sahaja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN