Onn Hafiz nafi kenyataan Mohd. Puad

Onn Hafiz nafi kenyataan Mohd. Puad, UMNO Johor buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa istana Johor mengarahkan pembubaran DUN.

Sebaliknya, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar berkata, pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu dibuat setelah pihaknya mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Katanya, Menteri Besar tidak boleh membubarkan DUN Johor sesuka hati sebaliknya perlu melalui proses ditetapkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi. Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya umum pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, tindakan Mohd. Puad memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor adalah tidak bertanggungjawab.

“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN