Onn Hafiz dakwa dihalang lakukan program di tanah rancangan Felda - Utusan Malaysia

Onn Hafiz dakwa dihalang lakukan program di tanah rancangan Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa beliau telah dihalang daripada memasuki kawasan tanah Felda sehingga menyebabkan program Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026, baharu-baharu ini dibatalkan.

Onn Hafiz berkata, insiden tersebut merupakan pertama kali seorang Menteri Besar dihalang menyempurnakan program bersama komuniti Felda di negeri ini.

“Petang ini saya bersyukur walaupun sepatutnya kita jumpa dua hari lalu tetapi kita diuji dan disekat. Namun takdir Allah, kita tetap berjumpa walaupun lewat. Saya tertunggu hendak berjumpa dengan golongan yang kerajaan negeri anggap sebagai anak emas.

“Felda ialah anak emas negeri Johor, ada 73 tanah rancangan Felda di negeri ini. Rupa-rupanya nak serah hak peneroka dalam kawasan Felda pun saya tidak dibenarkan masuk.

“Pertama kali dalam sejarah saya di Johor, Menteri Besar tak dibenarkan masuk kawasan Felda. Tetapi ini bukan salah pengurus, kita akan buat program lain khas untuk serahkan hak milik peneroka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu, pihaknya tidak lemah semangat walaupun dikecam sesetengah pihak kerana mahu memberitahu perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.

“Apa yang penting rakyat negeri ini terus disantuni dalam apa juga cara, ini amanah yang diberikan kepada saya.

“Untuk warga felda, jika saya masih Menteri Besar selepas 11 Julai nanti, semua peneroka akan menjadi anak emas kepada kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN