Puad Zarkashi dedah ramai anak pemimpin UMNO dapat manfaat, jawatan - Utusan Malaysia

Puad Zarkashi dedah ramai anak pemimpin UMNO dapat manfaat, jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa beliau meninggalkan UMNO kerana protes terhadap sistem digunakan parti itu dalam memilih calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, antara bukti kelemahan sistem itu termasuklah pemilihan Alwiyah Talib sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan juga Datuk Abdul Halim Suleiman di kerusi DUN Tiram.

“Alwiyah Talib bekas ADUN Endau dari parti Bersatu (dua penggal) umum keluar Bersatu kemudian masuk balik UMNO, tiba tiba tak sampai sebulan, dipilih sebagai calon BN DUN Endau.

“Itu angkara siapa, Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing. Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak. Kenapa Barisan Nasional (BN) tolak calon anak muda. Hebatkah Alwiyah itu.

“Itu juga yang berlaku kepada Azizul Bachok bekas ADUN Tiram. Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi wakil rakyat. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh Senator Datuk Abdul Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Puad, tindakan keluar parti dibuat sebagai langkah terakhir setelah tidak bersetuju dengan proses dilaksanakan berhubung pemilihan calon.

“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada. Parti jadi milik eksklusif, sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin.

“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya. Kenapa itu jadi isu, kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.

“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi terdapat ramai anak-isteri pemimpin UMNO di peringkat pusat yang mendapat jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini pun akan didedahkan dalam posting berasingan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN