Mexico pertaruh pengalaman, Ecuador buru kejutan

Mexico pertaruh pengalaman, Ecuador buru kejutan

PENYERANG Berpengalaman, Raul Jimenez akan mengetuai jentera serangan menjelang aksi pusingan ke-32 menentang Ecuador di Stadium Mexico City, awal pagi esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia antara Mexico dan Ecuador di Stadium Mexico City esok dijangka berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan turun dengan kekuatan penuh tanpa dibelenggu masalah kecederaan.

Mexico semestinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, manakala Ecuador bertekad meneruskan kejutan selepas kempen cemerlang pada peringkat kumpulan.

Pengendali Mexico, Javier Aguirre dijangka mengembalikan penyerang berpengalaman, Raul Jimenez ke dalam kesebelasan utama selepas merehatkannya ketika aksi terakhir kumpulan menentang Republik Czech.

Aguirre percaya pengalaman yang dimiliki pemain-pemain senior akan menjadi faktor penting dalam aksi kalah mati yang sentiasa menjanjikan tekanan berbeza berbanding peringkat kumpulan.

“Kami menghormati Ecuador kerana mereka telah menunjukkan kualiti sebenar sepanjang kejohanan ini. Namun kami bermain di hadapan penyokong sendiri dan perlu memanfaatkan kelebihan itu. Dalam perlawanan seperti ini, pengalaman dan ketenangan membuat keputusan akan menjadi kunci,” katanya.

Pengendali Ecuador, Sebastian Beccacece pula tidak mempunyai sebab untuk melakukan perubahan besar selepas pasukannya melakar kemenangan berprestij ke atas Jerman yang memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Benteng pertahanan Ecuador yang diketuai Alan Franco, Joel Ordonez, Willian Pacho dan pemain Arsenal, Piero Hincapie menjadi antara kekuatan utama pasukan itu sepanjang kejohanan apabila berjaya mempamerkan disiplin serta organisasi permainan yang mantap.

Di bahagian serangan, Gonzalo Plata terus menjadi sandaran selepas mempamerkan prestasi cemerlang termasuk menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Jerman, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pemain paling berbahaya dalam skuad Ecuador.

Beccacece mengakui perlawanan menentang Mexico cukup penting buat masa depannya, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan Ecuador terus mara dalam kejohanan.

“Kami mempunyai peluang untuk mara lebih jauh. Jika keadaan tidak berjalan seperti yang diharapkan, saya perlu meninggalkan tempat yang sangat saya cintai, tetapi saya sedar semuanya bergantung kepada keputusan di atas padang,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN