Mesir raih kemenangan pertama di Piala Dunia

Mesir raih kemenangan pertama di Piala Dunia

KAPTEN Mesir, Mohamed Salah(kanan) meledak gol kedua Mesir pada aksi piala dunia 2026-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Mesir mencipta sejarah di kempen Piala Dunia selepas berjaya melakar kemenangan pertama apabila menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan G di Vancouver, semalam

Mohamed Salah membuktikan sentuhan magisnya apabila mengilhamkan kebangkitan Mesir selain Mostafa Ziko dan Trezeguet turut menempa nama selaku penjaring untuk memastikan skuad kendalian Hossam Hassan meraih tiga mata pertama.  

Kejayaan bersejarah itu turut menyaksikan Mesir melonjak ke tangga teratas Kumpulan G dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.

Selepas aksi hambar pada separuh masa pertama yang menyaksikan mereka ketinggalan hasil jaringan Finn Surman, Mesir bangkit dengan permainan lebih agresif pada babak kedua, dipacu aksi cemerlang Salah yang terus menjadi inspirasi buat skuad kendalian Hassan.

“Ini satu pencapaian hebat untuk semua pemain. Ia kemenangan yang besar dan suasana dalam pasukan juga sangat baik. Perlawanan seterusnya amat penting,” kata Salah.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, stadium bergema dengan sorakan apabila Salah dan rakan-rakannya meraikan kemenangan bersejarah itu, manakala Hassan mengelilingi stadium sambil mengibarkan bendera Mesir.

“Perasaan saya sama seperti rakyat Mesir kerana saya salah seorang daripada mereka. Saya cintakan mereka, sama ada yang hadir di sini atau yang menonton dari Mesir.

“Stadium ini terasa seperti kami bermain di Mesir. Penyokong membuatkan kami berasa seolah-olah bermain di Kaherah,” kata Hassan.

Sementara itu, kapten New Zealand, Chris Wood mengakui pasukannya gagal mengekang pengaruh Salah yang menjadi pembeza dalam perlawanan tersebut.

“Kami berjaya mengawal mereka untuk tempoh tertentu, tetapi mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.

“Anda tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada seorang pemain kerana Salah boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa dan dia membuktikannya hari ini,” katanya.

New Zealand kini menghuni tangga tercorot kumpulan dengan satu mata dan bakal berdepan Belgium dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sementara Mesir bakal menentang Iran dalam perlawanan penentuan sekaligus bakal menentukan nasib mereka untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN