Kenyataan Puad Zarkashi dibimbangi wujudkan persepsi negatif terhadap istana - Utusan Malaysia

Kenyataan Puad Zarkashi dibimbangi wujudkan persepsi negatif terhadap istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan istana Johor dibimbangi akan mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi berkenaan selain boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan tersebut juga boleh disifatkan berbaur unsur hasutan apabila sengaja mengheret institusi diraja dalam percakaran politik.

“Sebab itu, laporan polis dibuat supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil serta tindakan lanjut dapat dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Puad yang juga Speaker DUN Johor hari ini mengumumkan keluar UMNO berkuat kuasa serta merta selain mendakwa berlaku campur tangan istana dalam keputusan UMNO Johor selain menuduh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz hanya ‘pak turut’ istana.

Tambah Noor Azleen, tidak wajar mengaitkan wujudnya campur tangan istana sekiranya tidak berpuas hati dengan senarai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Perlu diingat, kerusi adalah hak parti. Apabila tiba masanya, kerusi itu perlu dipulangkan kepada parti. Parti mempunyai prerogatif dan hak untuk menentukan siapa yang layak menjadi calon.

“Bukan penyandang yang mempunyai hak mutlak untuk menentukan perkara itu. Apabila seseorang membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi disandang, maka keputusan mengenai calon perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti,” katanya.

Noor Azleen memberitahu, tindakan Mohd. Puad berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap senarai calon PRN Johor.

“Saya berpandangan kenyataan sedemikian tidak adil dan tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang berpengalaman serta telah lama berada dalam parti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN