Keamanan Lubnan syarat Iran tamatkan perang dengan AS

Keamanan Lubnan syarat Iran tamatkan perang dengan AS

KEPULAN asap kelihatan selepas serangan udara Israel di pinggir bandar Tyre, selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Iran menegaskan semula sokongan terhadap sekutunya di Lubnan, Hizbullah, serta menuntut Israel berundur dari selatan negara itu, sekali gus merumitkan usaha mencapai perjanjian sementara bagi menamatkan konflik meluas antara Amerika Syarikat (AS) dan Teheran.

Iran menetapkan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah sebagai syarat bagi sebarang perjanjian damai dengan Washington untuk menyelesaikan perang serantau yang kini memasuki bulan keempat, selain membolehkan aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz kembali beroperasi seperti biasa.

Pusingan terbaharu pertempuran Hizbullah dan Israel tercetus pada awal Mac, dua hari selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hizbullah berkata, tindakannya adalah untuk menyokong Teheran.

“Perang ini hanya akan berakhir apabila ia turut berakhir di Lubnan. Penamatan perang di Lubnan mesti disertai dengan pengunduran tentera Israel dari wilayah yang mereka duduki,” kata Abbas Araqchi dalam temu bual bersama stesen televisyen Lubnan, Al Mayadeen, kelmarin.

Kenyataan Menteri Luar Iran itu dibuat selepas pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, menolak perjanjian yang diusahakan AS antara Israel dan kerajaan Lubnan bagi menghentikan pertempuran di negara itu.

Perjanjian itu tidak memperuntukkan pengunduran tentera Israel, manakala Hizbullah juga tidak terlibat dalam rundingan berkenaan.

Israel terus melancarkan serangan di selatan Lubnan dan menegaskan tenteranya tidak akan berundur atau menghentikan operasi di negara itu, di tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan AS.

Hizbullah berkata pada Jumaat, pihaknya melancarkan dua serangan terhadap tentera Israel di selatan Lubnan, termasuk berhampiran Istana Beaufort yang baru ditawan, manakala perkhidmatan keselamatan Lubnan memaklumkan serangan udara Israel mengenai beberapa bandar di seluruh selatan negara itu.

“Hizbullah ‘melakukan pengorbanan besar dalam perang baru-baru ini dan ia adalah sekutu kami. Oleh itu, kami menyokong Hezbollah dan kekal komited sepenuhnya terhadap tanggungjawab kami kepada kumpulan itu,” kata Mohsen Rezaei.

Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Mehr News Agency, beliau turut memberi amaran kepada Israel supaya tidak meneruskan ancaman untuk menyambung semula serangan terhadap ibu negara Lubnan.

“Hari ini kami sekali lagi memberi amaran kepada rejim ini supaya meninggalkan Lubnan. Mereka perlu tahu bahawa Lubnan akan menjadi sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada sebarang perjanjian dan sebarang gencatan senjata,” katanya.

Speaker Parlimen Lubnan dan sekutu Hizbollah, Nabih Berri berkata, beliau bersetuju dengan pengunduran kumpulan yang disokong Iran itu dari selatan Lubnan sekiranya tentera Israel turut berundur secara serentak dari wilayah yang mereka duduki di negara berkenaan.

Di Washington, Presiden Donald Trump memberitahu wartawan beliau percaya kemajuan sedang dicapai di Lubnan dan negara itu berhak menikmati keamanan.

“Ia sudah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Selain Lubnan, penduduk di Gaza, utara Israel dan Kuwait City turut berdepan serangan minggu ini, meskipun gencatan senjata yang diatur AS masih berkuat kuasa.

Trump sebelum ini berkata, gencatan senjata itu membenarkan pihak terbabit ‘melepaskan tembakan secara lebih sederhana’, bukannya menghentikan pertempuran sepenuhnya.

Semalam, tentera laut Iran berkata pihaknya melepaskan tembakan amaran ke arah kapal pemusnah AS di Gulf of Oman bagi menangkis apa yang disifatkannya sebagai “gangguan maritim, provokasi serta rampasan kapal dagang dan kapal tangki minyak”.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini