Kami tahu cara tumbangkan Belanda - Hakimi

Kami tahu cara tumbangkan Belanda – Hakimi

PERTAHANAN, Maghribi, Achraf Hakimi, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas gagal menyempurnakan sepakan penaltinya ketika penentuan penalti menentang Belanda, namun pasukan Atlas Lions tetap mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 3-2 menerusi penentuan penalti di Stadium Monterrey, hari ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTERREY: Pertahanan Maghribi, Achraf Hakimi menegaskan skuad Singa Atlas sudah mengetahui rahsia untuk menundukkan Belanda selepas mempamerkan ketahanan mental luar biasa sebelum menyingkirkan Oranje 3-2 menerusi penentuan penalti pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Monterrey, hari ini.

Maghribi mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik selepas terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan sebelum Ismael Saibari menyempurnakan sepakan penalti kemenangan, manakala penjaga gol Yassine Bounou muncul wira apabila menyelamatkan percubaan Crysencio Summerville.

“Kami tahu perlawanan seperti ini dan kami tahu siapa lawan kami, jadi kami perlu kekal fokus serta kuat dari segi fizikal dan mental.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Mexico atas sokongan luar biasa serta semua penyokong Maghribi yang datang memberikan semangat kepada kami,” kata Hakimi.

Belanda hampir menempah tiket ke pusingan 16 terbaik apabila Cody Gakpo meletakkan pasukan itu di depan pada minit ke-72, namun tandukan Issa Diop pada masa kecederaan hasil hantaran Chemsdine Talbi memadamkan kelebihan itu untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Drama terus memuncak dalam penentuan penalti apabila Justin Kluivert dan Quinten Timber gagal menyempurnakan sepakan mereka, sebelum Saibari muncul wira dengan menyempurnakan sepakan terakhir yang menghantar Maghribi bertemu Kanada pada pusingan 16 terbaik.

Kapten Belanda, Virgil Van Dijk mengakui Belanda sebenarnya berada di landasan tepat untuk menang sebelum hilang tumpuan pada masa kecederaan sehingga membenarkan Maghribi menyamakan kedudukan.

“Rancangan permainan kami sebenarnya menjadi, tetapi pada masa kecederaan kami mula diasak sebelum mereka berjaya menyamakan kedudukan dan akhirnya semuanya ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Sudah tentu sentiasa ada perkara yang boleh diperbaiki, tetapi semua itu tidak lagi membantu kami sekarang,” kata Van Dijk.

Kemenangan itu menyaksikan Maghribi akan turun menentang Kanada bagi merebut tiket ke suku akhir pada awal pagi Jumaat ini selepas pasukan itu terlebih dahulu mara kelmarin selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN