DALLAS: Pengendali Jordan, Jamal Sellami percaya pengalaman berharga yang diraih bakal menjadi bekalan penting untuk membentuk skuad yang lebih mantap pada masa depan meskipun menamatkan penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia tanpa sebarang mata.
Skuad dari Asia Barat itu tersingkir selepas tewas dalam ketiga-tiga aksi Kumpulan J, termasuk kekalahan 1-3 kepada juara dunia, Argentina di Dallas, sebentar tadi.
Walaupun gagal mara ke pusingan seterusnya, Sellami tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, selain memberi tentangan sengit kepada lawan yang lebih berpengalaman.
“Perkara paling penting ialah para pemain kini telah merasai sendiri pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia. Pengalaman itu akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik.
“Saya sentiasa mengingatkan mereka supaya terus meningkatkan kualiti permainan dan tahap kecergasan kerana untuk bersaing dengan pasukan bertaraf dunia, mereka perlu berada pada tahap fizikal yang jauh lebih tinggi,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Sellami, kelemahan utama Jordan sepanjang kejohanan ialah kesilapan kecil yang dilakukan akibat kurang pengalaman, sekali gus dihukum oleh pasukan lawan.
“Mereka menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, tetapi kesilapan kecil memberi kesan besar. Apabila anda menentang juara dunia, setiap kesilapan pasti dihukum,” katanya.
Mengulas aksi menentang Argentina, Sellami menyifatkan pasukan lawan sebagai antara yang terbaik di dunia, namun berbangga kerana Jordan menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya membolosi gawang juara dunia itu sepanjang aksi peringkat kumpulan.
“Argentina memiliki pemain berkualiti tinggi, namun kami tahu bagaimana untuk bermain menentang mereka. Kami juga satu-satunya pasukan yang berjaya menjaringkan gol ke atas mereka dalam saingan kumpulan.
“Walaupun tersingkir, kami berbangga dengan pencapaian ini sebagai penampilan pertama di Piala Dunia. Kami datang untuk belajar sebanyak mungkin dan saya percaya kami berjaya memperoleh pengalaman yang sangat bernilai,” katanya.-AGENSI










