SANTA CLARA: Jordan dan Algeria bakal turun dengan misi wajib menang dalam aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 di California dengan kekalahan berpotensi menamatkan kempen salah satu pasukan seawal peringkat kumpulan.
Kedua-dua pasukan kini berada dalam situasi getir selepas tewas dalam perlawanan pembukaan dan perlu meraih tiga mata bagi memastikan peluang ke pusingan kalah mati terus terbuka.
Jordan, yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia 2026 , mempamerkan aksi berani ketika menentang Austria meskipun tewas 1-3, apabila beberapa serangan balas pantas hampir mengejutkan lawan.
Penyerang Jordan, Ali Olwan yang mencipta sejarah sebagai penjaring gol pertama negaranya di pentas Piala Dunia percaya pasukannya mampu bangkit menentang Algeria.
“Orang yang bijak belajar daripada kesilapannya dan tidak mengulanginya.Saya berjanji dalam perlawanan seterusnya, Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik dan tampil lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Algeria turut berdepan tekanan selepas dibelasah juara bertahan Argentina 0-3 dalam perlawanan yang menyaksikan Lionel Messi meledak hatrik.
Skuad yang digelar Desert Foxes itu kini perlu segera bangkit bagi mengelakkan penyingkiran awal, terutama jika Austria berjaya meraih mata ketika menentang Argentina.
Pengendali Algeria, Vladimir Petkovic bagaimanapun yakin anak buahnya masih menguasai nasib sendiri dalam saingan kumpulan.
“Kami perlu memastikan pasukan terus percaya kerana kami tahu kami mampu melakukannya. Dua lagi pasukan dalam kumpulan ini masih perlu berdepan Argentina, jadi nasib kami masih di tangan sendiri,” katanya.-AGENSI










