PARIS: Kira-kira 68,000 isi rumah di barat laut Perancis terputus bekalan elektrik pada Rabu susulan gelombang haba yang memecahkan rekod di Eropah, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kerosakan sebuah transformer dalam rangkaian grid elektrik dan dikaitkan dengan suhu yang melampau, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut pihak berkuasa wilayah Finistere, insiden itu berlaku kira-kira pukul 9 malam semalam di komun Ergue-Gaberic berhampiran bandar Quimper di wilayah Brittany.
Pasukan daripada pengendali grid elektrik Perancis, RTE dan Enedis, bekerja sepanjang malam untuk memulihkan bekalan, namun sambungan semula sepenuhnya dijangka hanya dapat dilakukan selewat-lewatnya pada lewat hari ini.
Sehingga lewat Selasa, kira-kira 106,000 pengguna rangkaian elektrik Perancis terjejas akibat gangguan bekalan ketika negara itu berdepan hari paling panas yang pernah direkodkan susulan gelombang haba yang melanda Eropah.
RTE dalam satu kenyataan berkata, faktor teknikal menghalang bekalan elektrik disambung semula kepada semua pengguna yang terjejas dalam tempoh sehari.
Gelombang haba luar biasa yang melanda beberapa negara Eropah sejak beberapa hari lalu terus memberi tekanan kepada infrastruktur awam dan sistem tenaga di rantau berkenaan.
Jabatan Finistere adalah antara 58 jabatan di Perancis yang diletakkan di bawah amaran merah tertinggi akibat cuaca panas melampau pada Rabu, dengan suhu dijangka mencecah antara 39 hingga 41 darjah Celsius dari Brittany hingga ke wilayah Paris.
Menurut pakar, cuaca ekstrem itu didorong oleh corak atmosfera dan peredaran udara yang memerangkap udara panas di sesuatu kawasan selama beberapa hari, manakala fenomena tersebut menjadi semakin buruk akibat pemanasan global.- AFP










