Czech, Afrika Selatan berkongsi mata di Atlanta

Czech, Afrika Selatan berkongsi mata di Atlanta

PEMAIN Czech, Ladislav Krejci diasak pertahanan Afrika Selatan, Evidence Makgopa pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Atlanta, sebentar tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Afrika Selatan menghidupkan peluang untuk mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama apabila bangkit mengikat Republik Czech 1-1 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Atlanta, sebentar tadi.

Czech memulakan perlawanan dengan positif apabila mendahului seawal minit ke-10 menerusi Michal Sadilek yang menyempurnakan gerakan kemas pasukannya untuk menewaskan penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.

Jaringan itu meletakkan Czech di landasan terbaik untuk meraih kemenangan pertama kejohanan, malah mereka turut mencipta beberapa peluang berbahaya selepas itu, namun gagal menambah jaringan.

Afrika Selatan yang tewas dalam perlawanan pembukaan enggan mengalah dan tampil lebih agresif selepas rehat.

Asakan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua.

Teboho Mokoena tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan untuk menyamakan kedudukan, sekali gus menyuntik semangat baharu buat skuad kendalian Hugo Broos.

Broos memuji semangat juang dipamerkan anak buahnya dan percaya pasukannya masih berpeluang melangkah ke pusingan seterusnya jika mengekalkan prestasi sama dalam aksi terakhir kumpulan.

“Kami sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik kerana bermain dengan baik. Namun, jika kami terus menunjukkan persembahan seperti ini, peluang untuk mara masih terbuka,” katanya.

Sementara itu, pengendali Czech, Miroslav Koubek, kecewa pasukannya gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik untuk menamatkan saingan lebih awal.

“Kami lebih hampir untuk menang berdasarkan peluang yang dicipta, tetapi gagal mendapatkan gol kedua. Jika itu berlaku, perlawanan sudah berakhir lebih awal,” ujarnya.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip mata pertama dalam kempen Kumpulan A dan masih berpeluang memburu slot ke pusingan 32 terbaik.

Afrika Selatan akan menentang Korea Selatan manakala Republik Czech berdepan Mexico dalam aksi terakhir kumpulan minggu depan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN