GUADALAJARA: Colombia berpeluang menjadi antara pasukan terawal mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik apabila berdepan DR Congo dalam aksi kedua Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Stadium Akron, esok.
Kemenangan 3-1 ke atas Uzbekistan pada perlawanan pembukaan meletakkan Colombia di tangga teratas kumpulan dengan tiga mata, manakala DR Congo mencuri tumpuan dunia apabila mengikat Portugal 1-1 untuk meraih mata pertama mereka dalam sejarah penyertaan Piala Dunia.
Skuad kendalian Nestor Lorenzo tampil dengan reputasi sebagai antara pasukan paling konsisten dari Amerika Selatan.
Pada aksi pertama, Colombia dilihat banyak bergantung kepada kreativiti kapten James Rodríguez serta ketajaman penyerang sayap Luis Diaz yang meledak satu gol dan satu bantuan jaringan ketika menewaskan Uzbekistan.
Lorenzo bagaimanapun mengakui pasukannya tidak boleh memandang rendah ancaman DR Congo yang membuktikan kemampuan mereka mengekang Portugal menerusi corak serangan balas pantas dan disiplin bertahan yang tinggi.
Menurut beliau, Colombia perlu lebih tajam dalam penyudah dan memanfaatkan setiap peluang diperolehi jika mahu memastikan tiga mata penuh.
“DR Congo adalah pasukan yang sangat berbahaya dalam situasi peralihan permainan. Mereka menyerang secara langsung dan kami perlu meningkatkan keberkesanan penyudah.
“Mereka telah membuktikan ketika berdepan Portugal, jadi kami perlu berwaspada dengan itu. Semua pemain berada dalam keadaan baik dan saya yakin pemain-pemain mampu mencatat kemenangan kedua,” kata Lorenzo.
Jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre optimis anak buahnya mempunyai kemampuan untuk sekali lagi mencabar pasukan pilihan, terutama selepas mempamerkan ketahanan mental yang tinggi ketika menentang Portugal.
“Kami sudah membuktikan bahawa kami mampu bersaing di tahap ini. Mata menentang Portugal memberi keyakinan besar dan kami mahu terus mencipta sejarah,” ujarnya.
Atas kertas, Colombia memiliki kelebihan daripada segi pengalaman, kualiti individu dan rekod di pentas dunia namun DR Congo yang kembali ke Piala Dunia selepas penampilan terakhir pada 1974 kini dilihat sebagai pasukan yang sukar diramal dan berpotensi melakukan kejutan sekali lagi.-AGENSI










