Cannavaro tetap puji aksi Uzbekistan

Cannavaro tetap puji aksi Uzbekistan

FABIO Cannavaro-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Ketua jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya meskipun tewas 1-3 kepada Colombia dalam aksi pembukaan Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Estadio Azteca, hari ini.

Menurut legenda Itali itu, pemain Uzbekistan mempamerkan persembahan yang membanggakan walaupun berdepan tekanan besar bermain dalam suasana yang seolah-olah memihak sepenuhnya kepada Colombia.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya sangat bangga dengan permainan yang mereka tampilkan. Saya suka apa yang saya lihat.

“Ia bukan mudah. Kami bermain di Mexico, tetapi suasananya terasa seperti bermain di Colombia kerana begitu ramai penyokong lawan berada di sini,” katanya.

Colombia yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas gagal layak ke edisi 2022 membuka tirai jaringan menerusi Daniel Munoz pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun, Uzbekistan bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Abbosbek Fayzullaev pada minit ke-60 sebelum Colombia kembali menguasai perlawanan.

Bintang sayap Colombia, Luis Diaz muncul watak utama apabila menjaringkan gol kedua pasukannya, sebelum pemain gantian, Jaminton Campaz melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Cannavaro berkata, pengalaman beraksi di stadium ikonik seperti Azteca akan menjadi kenangan yang sukar dilupakan buat pemainnya.

“Bermain di sini adalah sesuatu yang menakjubkan. Ini kali pertama pemain saya beraksi di stadium ini dan mereka akan mengingatinya sepanjang hayat.

“Apabila pasukan kerdil seperti kami bekerja keras seperti yang dilakukan hari ini, kekalahan 3-1 itu terasa agak berat,” ujarnya.

Bekas pertahanan Itali itu turut mengingatkan Uzbekistan supaya terus meningkatkan prestasi sepanjang kempen sulung mereka di Piala Dunia, lebih-lebih lagi apabila bakal berdepan lawan lebih berpengalaman seperti Colombia dan Portugal.

“Kami perlu terus berkembang dan saya sentiasa mengingatkan mereka supaya kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Bukan mudah bermain menentang pasukan seperti Colombia atau Portugal. Hari ini pasukan memahami bila perlu bertahan, bila perlu mengawal bola dan bila perlu mengalihkan permainan dari satu sudut ke sudut yang lain.

“Saya fikir persembahan kami pada separuh masa kedua sangat baik,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN