MANAMA: Bahrain menuduh Iran melancarkan beberapa serangan dron ke atas wilayahnya hari ini, sambil mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran kedaulatan negara serta usaha mensabotaj inisiatif keamanan di rantau berkenaan.
Kementerian Luar Bahrain berkata, serangan yang berlaku pada awal pagi Sabtu itu melibatkan beberapa dron Iran dan disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negaranya.
Dalam kenyataan sama, Bahrain turut menyatakan kecaman paling keras terhadap insiden berkenaan dan menuduh Teheran cuba mensabotaj usaha keamanan, susulan kejadian berbalas serangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, Iran pada Sabtu menuduh AS melanggar perjanjian damai yang dipersetujui untuk menamatkan konflik, selepas Washington melancarkan serangan ke atas wilayah Iran, yang kemudian dibalas Teheran dengan serangan terhadap sasaran AS di rantau Teluk.- AFP










