Azeem buru pingat di Kejohanan Olahraga Asia B-23

Azeem buru pingat di Kejohanan Olahraga Asia B-23

Muhammad Azeem Mohd Fahmi (dua dari kanan) beraksi dalam acara 100 meter lelaki akhir pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menyasarkan untuk menamatkan saingan di kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 (B-23) yang dijadual berlangsung di China pada 9 hingga 12 Julai ini.

Atlet berusia 22 itu berada pada tahap terbaik apabila berjaya mengungguli acara 100 meter (m) di Kejohanan Terbuka Malaysia pada Jumaat lalu.

Mengulas mengenai sasaran tersebut, Azeem menjelaskan Kejohanan Olahraga Asia B-23 merupakan tumpuan utamanya sebelum beralih kepada persediaan menghadapi temasya lebih besar, iaitu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Macam saya, ini sebenarnya bukanlah sasaran utama saya (memenangi Terbuka Malaysia). Kita ada Kejohanan Olahraga Asia B-23 yang akan berlangsung di China pada awal bulan Julai nanti. Jadi, itu merupakan kejohanan sasaran saya selepas ini.

“Saya menantikan untuk beraksi dan memberikan persembahan terbaik sebab saya tahu ini akan jadi kejohanan yang besar sebelum menuju ke Sukan Asia 2026.

“Saya yakin ramai yang ingin melihat saya berlari membawa nama negara, jadi ini adalah platform terbaik untuk saya lakukan sesuatu dan Insya-Allah berada di atas podium,” katanya.

Azeem turut memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berlatih di luar negara bagi menghadapi Sukan Asia sebaliknya segala persiapan dilakukan di Malaysia.

“Insya-Allah, ya. Saya masih lagi berlatih menggunakan program yang disediakan oleh jurulatih saya dari AS, Ken Harnden, tetapi di sini saya akan dipantau sepenuhnya oleh jurulatih Amir Izwan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN