Austria rancang ‘jerat’ Messi

Austria rancang ‘jerat’ Messi

LIONEL Messi dijangka bakal memberi ancaman buat pasukan Austria pada aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Austria-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON: Juara bertahan, Argentina berpeluang mengorak langkah besar ke pusingan kalah mati apabila menentang Austria dalam aksi kedua Kumpulan J Piala Dunia 2026, di Stadium Dallas, esok.

Kedua-dua pasukan hadir dengan keyakinan tinggi selepas memulakan kempen masing-masing dengan tiga mata penuh.

Argentina yang diketuai Lionel Messi membelasah Algeria 3-0 menerusi hatrik kapten mereka itu, sekali gus menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose.

Austria pula membuka kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Jordan, sekali gus menjadikan pertemuan ini sebagai aksi penentuan awal buat dua pendahulu kumpulan.

Kemenangan bakal meletakkan Argentina hampir pasti ke pusingan 32 terbaik, malah berpeluang mengesahkan status juara kumpulan lebih awal jika Jordan gagal menewaskan Algeria.

Austria bagaimanapun mempunyai misi tersendiri selepas mempamerkan aksi meyakinkan di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Kapten Austria, David Alaba mengakui Messi kekal ancaman utama selepas penyerang berusia 38 tahun itu mempamerkan aksi luar biasa pada perlawanan pertama.

“Kami menonton perlawanan mereka dan apa yang dilakukan Messi memang luar biasa. Memulakan kejohanan dengan hatrik, itu sesuatu yang gila.Harap-harap dia tidak mengulanginya ketika menentang kami,” katanya.

Bagaimanapun, Alaba menegaskan Austria tidak hanya memberi tumpuan kepada Messi kerana Argentina memiliki ramai pemain berkualiti.

“Kami tahu kekuatan mereka, bukan sahaja Messi tetapi keseluruhan pasukan. Mereka sangat berbahaya,” ujarnya.

Austria dijangka mempertaruhkan corak permainan tekanan tinggi untuk mengganggu rentak Argentina yang dilihat antara calon utama mempertahankan gelaran.

Sementara itu, penolong jurulatih Argentina, Pablo Aimar menganggap Austria sebagai lawan yang jauh berbeza berbanding Algeria.

“Austria adalah pasukan yang sangat sukar. Mereka memiliki kekuatan fizikal dan mampu memberikan cabaran besar,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN