WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) ‘bersedia, mahu dan mampu’ untuk membantu Venezuela selepas negara Amerika Selatan itu dilanda dua gempa bumi kuat.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Presiden AS, Donald Trump berkata, gempa bumi tersebut berskala besar dan menyebabkan jumlah korban yang tinggi.
“Amerika Syarikat bersedia, mahu dan mampu untuk membantu! Saya mengarahkan semua agensi kerajaan kami untuk bersiap sedia bergerak dengan cepat.
“Kami akan berada di sana untuk rakan-rakan baharu dan hebat kami. Laporan awal tidak baik!,” kata Trump.
Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi pertama bermagnitud 7.1 dikesan berpusat di barat komuniti Morón yang terletak di sepanjang pantai Caribbean negara itu, kira-kira 168 kilometer (km) ke barat Caracas.
Gempa tersebut dilaporkan berlaku pada kedalaman 13km.
Hanya seminit kemudian, USGS melaporkan satu lagi gempa bumi yang lebih kuat bermagnitud 7.5. Gempa kedua itu dikesan pada kedalaman 10km dengan pusat gempa terletak 16km ke barat daya Morón.
Siri gegaran berkembar ini dikategorikan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.- AFP










