Anthony Loke lancar Shuttle Selatan, hubungkan Kulai-JB Sentral - Utusan Malaysia

Anthony Loke lancar Shuttle Selatan, hubungkan Kulai-JB Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini merasmikan perkhidmatan Shuttle Selatan yang akan menghubungkan Kulai dan Johor Bahru (JB) Sentral sebagai inisiatif penyuraian kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru.

Siew Fook berkata, perkhidmatan tersebut turut menghubungkan dua stesen lain iaitu Kempas Baru dan Pasir Gudang.

Menurut beliau, kedua-dua laluan berkenaan merupakan fasa pertama perkhidmatan itu, sebelum ianya diperluas sehingga ke Paloh, Layang-Layang dan Renggam.

“Perkhidmatan ini membolehkan penduduk luar Johor Bahru menggunakan tren untuk sampai ke JB Sentral setiap hari, khususnya yang bekerja di republik itu dengan menaiki tren pertama pada pukul 4.45 pagi dari Kulai.

“Perjalanannya mengambil masa kira-kira 30 minit sehala dengan 10 trip pergi balik disediakan setiap hari, tambangnya adalah RM10.20 sehala,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan, di sini hari ini.

Tambah beliau, perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini akan ditambah baik pada masa depan menerusi perkhidmatan Komuter Selatan yang akan dilaksana dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Inisiatif itu merupakan satu pelaburan bagi masa depan, dengan peruntukan bernilai lebih RM200 juta melibatkan 10 set komuter yang baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pelaksanaan projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) seperti diminta kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu diperingkat kajian pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“E-ART adalah satu perkhidmatan tren menggunakan tayar, tetapi ia memerlukan laluannya yang tersendiri dan tidak bercampur dengan laluan kenderaan lain. Untuk itu perlu ada laluan jejambat.

“Projek berkenaan dibawah pihak UKAS, jadi tender bukan dibuat Kementerian Pengangkutan. Pihak UKAS telah mendapat kelulusan Kabinet untuk mengeluarkan tender dan mereka sedang melakukan kajian sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN