MIAMI: Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli terus mencuri tumpuan apabila melakar kemenangan bersejarah dalam Grand Prix (GP) Miami sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan pemandu Formula Satu (F1), semalam.
Pelumba berusia 19 tahun itu mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pemandu pertama memenangi tiga perlumbaan berturut-turut bermula dari tiga petak utama pertamanya, selepas kejayaan terdahulu di China dan Jepun.
Dalam perlumbaan penuh dramatik, Antonelli mempamerkan pemanduan matang untuk menewaskan juara dunia Lando Norris dari McLaren dengan kelebihan 3.264 saat.
Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Perlumbaan yang berlangsung selepas rehat lima minggu itu menyaksikan persaingan sengit sejak awal, apabila Charles Leclerc dari Ferrari sempat mendahului sebelum dipintas semula.
Antonelli bagaimanapun bijak memanfaatkan strategi ‘undercut’ ketika hentian pit untuk merampas kedudukan pendahulu daripada Norris pada fasa akhir perlumbaan.
“Pasukan melakukan strategi yang hebat dan saya berjaya memanfaatkannya. Ia perlumbaan yang sukar, tetapi saya gembira dapat menang,” kata Antonelli.
Sementara itu, pemandu Mercedes, George Russell, menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull.
Juara tujuh kali dunia, Lewis Hamilton, sekadar menduduki tempat ketujuh. – AFP










