MADRID: Pemain No.1 dunia, Jannik Sinner mempamerkan aksi luar biasa untuk menjuarai Terbuka Madrid buat kali pertama selepas menewaskan Alexander Zverev 6-1, 6-2 di ibu negara Sepanyol itu, hari ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sinner melakar rekod tersendiri dengan meraih gelaran Masters 1000 kelima berturut-turut selain memanjangkan rentetan kemenangan kepada 23 perlawanan.
Pencapaian itu meletakkan beliau sebaris dengan legenda seperti Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic yang pernah mendominasi kejohanan di tahap sama.
“Saya tidak mampu dibandingkan dengan Rafa, Novak dan Roger kerana apa yang mereka capai sangat luar biasa.
“Saya hanya mahu mencipta laluan sendiri dan bermain untuk kejayaan peribadi, bukan semata-mata mengejar rekod,” kata Sinner selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Sinner bermula garang apabila mematahkan servis awal Zverev sebelum menguasai set pertama dengan kelebihan besar 5-0.
Pemain Itali itu terus mengukuhkan cengkaman dalam set kedua dengan variasi permainan yang lebih tajam, termasuk pukulan ‘drop shot’ yang memerangkap lawannya.
Ketiadaan pencabar utama seperti Carlos Alcaraz akibat kecederaan pergelangan tangan dilihat membuka laluan lebih luas buat Sinner menjelang aksi Grand Slam Roland Garros. – AGENSI










