PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat dakwaan sebuah syarikat tempatan dan beberapa individu menerima dana asing bagi menggerakkan propaganda politik yang boleh mengancam kestabilan negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim mendakwa, dana itu bertujuan menjalankan aktiviti politik termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi mewujudkan sentimen antikerajaan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
Katanya, alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti membabitkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik.
“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahgunakan pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik tempatan secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi.
“Jika dakwaan itu benar, Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing untuk mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.
“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memetik laporan yang mendakwa sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat menyalurkan lebih RM1.5 juta kepada sebuah syarikat tempatan dikaitkan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui beberapa transaksi antara November 2024 dan Jun 2025.
Yayasan itu turut didakwa membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada pengarah eksekutif NGO terbabit dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.
Jumaat lalu, kumpulan Mandiri menafikan dakwaan menggunakan dana asing untuk membantu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka bertindak sebagai proksi untuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli.
Kumpulan itu bertindak balas terhadap laporan polis mengenai video tular yang mendakwa lebih RM1.5 juta dana asing disalurkan kumpulan AS dikenali Tides Foundation kepada Mandiri. – UTUSAN








