PETALING JAYA: Selangor FC terus menghambat kedudukan teratas Liga Super Malaysia apabila membelasah Penang FC 4-0 dalam aksi berat sebelah di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon kembali merampas tangga kedua, sekali gus menolak Kuching City FC ke kedudukan ketiga dengan kelebihan dua mata.
Namun, saingan masih terbuka apabila Kuching City memiliki satu perlawanan dalam tangan, tatkala Selangor kini mengumpul 49 mata berbanding 47 mata milik ‘The Cats’.
Di atas padang, Gergasi Merah jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mempamerkan tempo permainan tinggi dan serangan bertali arus membuatkan benteng pelawat kucar-kacir sejak wisel pertama.
Penyerang sensasi, Chrigor Moraes membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi rembatan padu yang gagal ditepis Ramadhan Hamid.
Selangor tidak menoleh ke belakang apabila empat minit berselang, Hugo Boumous menggandakan kelebihan sebelum tandukan kemas Harith Haiqal pada minit ke-20 menjadikan kedudukan 3-0 menjelang rehat.
Memasuki babak kedua, Selangor terus mengasak dengan pemain gantian, Alvin Fortes menutup pesta jaringan dengan sepakan percuma menarik pada minit ke-62.
Fortes hampir menambah derita pelawat di penghujung permainan, namun percubaannya sekadar menggegar tiang, sebelum susulan Moraes dinafikan pertahanan di garisan gol.-UTUSAN










