Pusat penjaja Gurney Bay siap 2027

Pusat penjaja Gurney Bay siap 2027

PENJAJA yang menjalankan operasi perniagaan mereka di Anjung Gurney dan kawasan sekitarnya di Pulau Pinang dijangka ditempatkan semula di lokasi baharu sebaik sahaja pusat penjaja baharu di Gurney Bay siap menjelang suku pertama tahun depan.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pusat penjaja baharu di Gurney Bay dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan dan akan menjadi lokasi penempatan semula bagi penjaja sedia ada di Anjung Gurney serta kawasan sekitar bulatan Persiaran Gurney di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, pembangunan pusat penjaja itu merupakan antara komponen utama dalam projek pembangunan Gurney Bay yang dilaksanakan secara berfasa oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Menurut beliau, projek tersebut telah mendapat kelulusan kebenaran merancang pada 20 Januari 2022 dengan pembangunan melibatkan Fasa 1A, Fasa 1B dan Fasa 2.

“Pusat penjaja ini dirancang bagi menyediakan kemudahan penjaja yang lebih teratur, selesa dan kondusif selaras dengan pembangunan Gurney Bay sebagai destinasi rekreasi dan tumpuan awam di Pulau Pinang,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Mooi Lye (PH-Jawi) menjawab soalan Joshua Woo Sze Zeng (PH-Pulau Tikus) berhubung perancangan pusat penjaja baharu di Gurney Bay termasuk kadar sewaan dan pemindahan penjaja sedia ada di Anjung Gurney.

Mooi Lye berkata, setakat ini, kerja-kerja pembinaan pusat penjaja yang bakal menempatkan 127 unit gerai penjaja, tujuh unit gerai minuman, 17 unit kedai runcit serta 43 tapak kiosk bergerak itu sedang giat dijalankan dengan kemajuan fizikal projek telah mencapai 4.16 peratus.

“Selepas pembinaan siap, sebanyak 134 unit gerai penjaja bersama 17 unit kedai runcit akan ditawarkan melalui proses pelesenan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya.

Beliau berkata, penyediaan meja dan kerusi untuk pengunjung ketika ini masih di peringkat penelitian dan akan dimuktamadkan berdasarkan reka bentuk akhir susun atur dalaman pusat penjaja tersebut.

mengenai kadar sewa pula, beliau berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana perlu mengambil kira kos operasi serta penyelenggaraan supaya pusat penjaja tersebut kekal mampan untuk tempoh jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata, pusat penjaja baharu di Gurney Bay sememangnya telah dirancang sebagai lokasi penempatan semula penjaja sedia ada di Tapak Penjaja Anjung Gurney dan penjaja statik sementara di sekitar bulatan Persiaran Gurney.

Menurut beliau, berdasarkan rekod MBPP, terdapat 93 peniaga di Tapak Penjaja Anjung Gurney dan 12 penjaja statik sementara di sekitar Persiaran Gurney yang terlibat dalam proses penempatan semula itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN