GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa terdapat hotel dan kediaman setinggi 69 tingkat akan dimajukan di atas tanah rizab milik kerajaan di Gurney Bay, Persiaran Gurney, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, penafian itu dibuat kerana pembangunan hotel di atas tanah berhampiran Gurney Bay itu bukan daripada komponen di bawah Gurney Bay yang dikhususkan sebagai taman rekreaksi awam berkeluasan 40.87 hektar.
“Projek pembangunan bercampur hotel dan kediaman itu dibangunkan oleh pihak pemaju yang telah memperoleh tanah tersebut secara kaedah pemberi milikan daripada kerajaan negeri sebagai tanah ganti untuk projek infrastruktur dan lebuh raya yang sedang dijalankan.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri tetap dengan prinsip bahawa di bawah komponen Gurney Bay, seinci tanah pun tidak akan diberi kepada mana-mana pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mengenai tanah di Gurney Bay yang merupakan kawasan taman rekreasi awam milik kerajaan negeri telah diserahkan kepada pemaju bagi tujuan pembinaan hotel dan kediaman setinggi 69 tingkat.
Dakwaan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif daripada kalangan netizen yang membantah kawasan rekreasi awam itu dijadikan hotel dan kediaman.
Mengulas lanjut, Jason berkata, kelulusan bagi pembangunan kediaman di atas tanah tersebut diberikan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.
“Justeru, pelaksanaan projek Gurney Bay adalah dipantau rapi selaras dengan konsep dan idea yang diumumkan oleh kerajaan negeri. Pada masa yang sama, projek pembangunan bercampur di atas tanah yang diberi milik kepada pihak swasta adalah dipantau oleh PLANMalaysia dan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang),” katanya.
Dalam pada itu, Jason berkata, projek Pembangunan Gurney Bay adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan kawasan taman rekreasi awam di atas tanah yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai satu komponen di bawah projek Tambakan Laut Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2).
“Projek Gurney Bay dilaksanakan di atas tanah yang berkeluasan 40.87 hektar dan ia dibangunkan secara berfasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2 di mana projek Fasa 1 (tanah seluas 10.92 hektar) telah siap dibangunkan dan telah dibuka kepada orang awam pada 4 Februari 2024,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja pembangunan bagi Fasa 2 iaitu di atas tanah berkeluasan 29.94 hektar ketika ini telah mencapai 48 peratus dan dijangka dapat disiapkan menjelang 2025.
“Selain daripada tanah Gurney Bay seluas 40.87 hektar, masih terdapat dua plot tanah yang dirizabkan untuk tujuan pembangunan iaitu tanah seluas 8.49 hektar yang terletak bertentangan dengan Gurney Plaza dan tanah seluas 2.83 hektar yang terletak berhampiran Hawker Centre Pembangunan Gurney Bay (dinamakan sebagai Plot B),” katanya.-UTUSAN










