JEREZ: Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola mengakui pencapaian pasukannya dibantu prestasi tidak menentu bekas juara dunia MotoGP, Marc Marquez yang belum berada pada tahap terbaiknya musim ini.
Namun begitu, Rivola menegaskan pasukan pengeluar dari Itali itu tetap berada dalam landasan tepat untuk bersaing merebut kejuaraan musim 2026.
Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi turut mencuri tumpuan apabila mendominasi tiga Grand Prix (GP) pembukaan, selain mencatat rekod baharu jumlah pusingan terbanyak mendahului perlumbaan sebelum dia tewas kepada Alex Marquez dari Gresini Ducati pada GP Sepanyol.
Bezzecchi tetap mengungguli senarai kejuaraan dengan kelebihan 11 mata menjelang GP Perancis pada hujung minggu ini.
Bercakap kepada Sky Italy, Rivola berkata, keputusan empat jentera Aprilia berada dalam kelompok enam terbaik merupakan satu petanda positif buat pasukan mereka.
“Tiada keperluan untuk membuat sebarang pengumuman. Jelas sekali penting untuk meletakkan empat motosikal dalam kelompok enam terbaik di Jerez, itu satu petanda yang sangat baik.
“Kami juga mendapat manfaat daripada fakta bahawa Marc Marquez jelas tidak berada dalam prestasi terbaiknya, kami sudah tentu telah melakukan kerja yang hebat sepanjang musim sejuk.
“Kami mempunyai dua pelumba yang sangat kuat dan saya mesti katakan bahawa Trackhouse juga semakin baik. Bezzecchi mempunyai kelebihan bermula lebih hadapan berbanding yang lain, jadi dia mendapat manfaat dalam perlumbaan,” katanya. – AGENSI










