JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan terdapat cubaan mengintip telefon pintarnya dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, perkara itu dimaklumkan menerusi satu notifikasi yang diterima daripada pihak Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau mercenary spyware terhadap akaun peribadinya.
“Saya memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” tulisnya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya, di sini hari ini.
Tambah beliau, laporan kepada SKMM bertujuan membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
“Semoga Allah melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak peribadi individu,” katanya.










