KMJ kesal petugas media dikasari skuad keselamatan ketika Konvensyen PH 2026 - Utusan Malaysia

KMJ kesal petugas media dikasari skuad keselamatan ketika Konvensyen PH 2026

KONVENSYEN Pakatan Harapan 2026 yang diadakan di Persada Johor, Johor Bahru merekodkan kehadiran seramai lebih 10,000 ahli parti-parti komponen gabungan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kelab Media Johor (KMJ) kesal dan memandang serius insiden kekecohan serta gangguan fizikal terhadap petugas media termasuk petugas wanita yang berlaku ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026, Ahad lalu.

KMJ dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berpunca daripada tindakan melampau skuad keselamatan yang ditugaskan mengawal perjalanan konvensyen serta pergerakan orang kenamaan (VVIP).

“Pihak terbabit bertindak menghalang pengamal media tempatan dari Johor dan Kuala Lumpur melakukan tugas menerusi tindakan agresif seperti tolak menolak sewaktu petugas media melakukan tugas hakiki mereka.

“Keadaan yang gagal dikawal dengan baik itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah secara langsung telah menjejaskan keselamatan petugas media yang sedang menjalankan tanggungjawab profesional mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Susulan itu, KMJ telah mengambil langkah proaktif dengan membuat satu laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Bahru hari ini bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.

“Langkah perundangan tersebut diambil demi melindungi kebajikan serta hak petugas media, selain menjadikannya peringatan agar kebebasan media terus dihormati oleh mana-mana organisasi.

“KMJ turut menuntut penjelasan segera daripada penganjur berhubung insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada Konvensyen PH 2026 lalu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini itu, beberapa petugas media termasuk wanita mendakwa mereka dikasari skuad keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN