Israel, Russia disenarai hitam PBB isu keganasan seksual

Israel, Russia disenarai hitam PBB isu keganasan seksual

ASKAR-askar Israel menahan beberapa penduduk Palestin di Dura. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YOR: Pasukan keselamatan Israel dan Russia kini secara rasmi dimasukkan ke dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung kes keganasan seksual dalam konflik, menurut laporan yang diteliti oleh agensi berita AFP pada Khamis.

Senarai yang diterbitkan setiap tahun oleh PBB itu merangkumi puluhan kumpulan melibatkan pihak kerajaan (negara) dan bukan kerajaan yang disyaki kuat terlibat secara sistematik dalam jenayah keganasan seksual di negara-negara konflik seperti Sudan, Haiti, Republik Demokratik Congo, Myanmar, Syria dan Mali.

Pada Ogos tahun lalu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dilaporkan telah memberi amaran awal kepada Israel dan Russia mengenai kemungkinan kedua-dua negara itu dimasukkan ke dalam senarai hitam berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik amaran tersebut laporan itu mendedahkan bahawa insiden serta corak keganasan seksual terus didokumentasikan oleh PBB dalam perang di Ukraine serta di wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut laporan yang diperoleh AFP sebelum ia diedarkan kepada ahli Majlis Keselamatan PBB, pasukan penyiasat badan dunia itu turut berdepan kesukaran berikutan sekatan akses secara berterusan daripada pihak berkuasa kedua-dua negara terlibat.

Menyentuh mengenai Israel, laporan itu menyatakan bahawa pada 2025, corak keganasan seksual terhadap warga Palestin yang ditahan di Israel dan Wilayah Palestin yang diduduki terus didokumentasikan.

Kes-kes yang berjaya disahkan itu menunjukkan trend yang berlaku selama beberapa tahun, namun PBB mengakui data tersebut belum komprehensif sepenuhnya ekoran tindakan Israel yang enggan memberikan akses ke pusat-pusat tahanan mereka.

Rentetan itu, pada 2025, PBB mengesahkan pelbagai kes keganasan seksual sejak 2023 termasuk yang digunakan sebagai salah satu bentuk penyeksaan terhadap 14 lelaki, tujuh wanita, sembilan kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat.

Antara bentuk pencabulan dan kekejaman yang dikesan termasuklah kes rogol menggunakan objek, rogol berkumpulan, keganasan fizikal terhadap kemaluan, paksaan berbogel serta pemeriksaan badan secara kasar yang dilakukan tanpa alasan keselamatan yang jelas.

Berdasarkan siasatan PBB, pelaku bagi jenayah-jenayah berkenaan dikenal pasti sebagai anggota tentera Israel, pasukan keselamatan serta petugas perkhidmatan penjara rejim tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN