KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kardiovaskular terulung negara apabila pakar dan penyelidiknya menerima pelbagai pengiktirafan pada Kongres Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) 2026.
Pengiktirafan itu merangkumi kategori kegagalan jantung, kardiologi intervensi, pembentangan kes klinikal serta Anugerah Penyelidik Muda yang sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan inovasi kardiovaskular di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan IJN dalam memajukan bidang perubatan kardiovaskular menerusi penyelidikan, inovasi dan rawatan multidisiplin.
Katanya, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan anugerah, sebaliknya mewakili hasil penyelidikan saintifik yang mampu meningkatkan rawatan, strategi terapi dan penjagaan jangka panjang pesakit kardiovaskular.
“Lebih membanggakan apabila kebanyakan kajian tersebut berasaskan data dunia sebenar Asia Tenggara serta hasil klinikal jangka panjang daripada pengalaman pesakit di IJN sendiri.
“Ini bukan sahaja mengukuhkan sumbangan Malaysia kepada sains kardiovaskular, malah meningkatkan kepentingan data Asia dalam membentuk pendekatan rawatan global pada masa depan,” katanya.
Antara pencapaian utama IJN pada kongres itu ialah kemenangan kategori Kertas Saintifik Kardiologi Intervensi menerusi Dr. Fa’iz Mashood, kategori Kertas Saintifik Kegagalan Jantung oleh Dr. Daniel Eng Theng Sheng serta Anugerah Penyelidikan Kegagalan Jantung dimenangi Dr. Noor Muhammad Azlan Shah.
Selain itu, Dr. Iskandar Mirza Amran memenangi kategori Pembentangan Kes Klinikal manakala Dr. Soh Si Ling menerima hadiah saguhati Anugerah Penyelidik Muda menerusi kajian berkaitan rawatan injap mitral.
Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya berkata, budaya penyelidikan di IJN kini berkembang melangkaui keperluan akademik dan menjadi sebahagian daripada ekosistem klinikal institusi berkenaan. 
Katanya, penglibatan aktif doktor dan penyelidik dalam analisis data dunia sebenar serta inovasi klinikal membolehkan pengalaman rawatan harian diterjemahkan kepada pengetahuan yang memberi manfaat kepada pesakit di Malaysia dan rantau ini.
Beliau berkata, persekitaran multidisiplin, jumlah pesakit yang tinggi serta pendedahan kepada kes kompleks turut menyediakan platform kukuh bagi penyelidikan dan inovasi kardiovaskular bermakna.
Kongres NHAM merupakan antara persidangan saintifik kardiovaskular utama negara yang menghimpunkan pakar jantung, pakar bedah kardiotorasik, penyelidik dan pemain industri kesihatan dari seluruh rantau.
Pengiktirafan terbaharu itu sekali gus memperkukuh kedudukan IJN sebagai Pusat Pakar Jantung Negara dan pusat rujukan serantau bagi rawatan kardiovaskular maju, pendidikan serta penyelidikan. – UTUSAN










