Graduan MSU perlu kemahiran tambahan depani realiti kerja

Graduan MSU perlu kemahiran tambahan depani realiti kerja

TENGKU Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Konvokesyen MSU Ke-37 di MSU, Shah Alam hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Graduan Management and Science University (MSU) disaran bersedia dengan pelbagai kemahiran tambahan bagi menyesuaikan diri mendepani dunia realiti pekerjaan.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, peralihan daripada dunia kampus serba teratur kepada realiti merupakan fasa kritikal yang sarat dengan peluang namun mencabar.

Titah baginda yang juga Canselor MSU, persaingan sengit dan kemahiran teknikal kini banyak diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Justeru, kemahiran insaniah seperti komunikasi, keupayaan beradaptasi, berfikir secara kritis dan prihatin amat bernilai bagi para graduan.

“Graduan perlu bersedia dengan pelbagai kemahiran tambahan walaupun cemerlang dalam akademik bagi menyesuaikan diri menghadapi dunia realiti pekerjaan,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen MSU ke-37 di Dewan Canselor MSU di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid; Pro Canselor, Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Naib Canselornya, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,879 graduan daripada 120 program menerima skrol pengajian pada majlis yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Tengku Sarafudin bertitah, para graduan memerlukan daya tahan mental tinggi dan perlu aktif membina jaringan profesional industri.

“Banyak peluang menanti seperti sektor ekonomi digital dan Industrial Revolution (IR 4.0) yang menawarkan permintaan tinggi terhadap AI, kemahiran analitik data serta pemasaran digital.

“Graduan dinasihatkan menimba lebih banyak pengalaman ‘hands-on’ dan meneroka bidang baharu yang berkembang pesat iaitu ekonomi hijau dan industri kreatif,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN