PETALING JAYA: Remaja antara dua lelaki yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Ampang Pecah-Rasa di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal berusia 28 tahun dan pembonceng berusia 14 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.14 tengah malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal.
“Terdapat tiga mangsa terlibat terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, dua mangsa lelaki yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Seorang wanita yang juga pemandu kereta berusia 51 tahun mengalami kecederaan. Pihak bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya. – UTUSAN










