Bukan KL City yang saya kenal - Vidakovic 

Bukan KL City yang saya kenal – Vidakovic 

AKSI pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang KL City, semalam. - IHSAN JDT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Risto Vidakovic mendedahkan kemelut dalaman yang melanda pasukan menjadi punca utama kekalahan memalukan 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Vidakovic tanpa berselindung mengakui suasana dalam bilik persalinan kini ‘toksik’ apabila pemain tidak lagi memberikan fokus sepenuhnya kepada pasukan, sebaliknya lebih memikirkan masa depan haluan masing-masing.

“Suasana pasukan sudah tidak lagi sama seperti dua minggu lalu. Banyak perkara pelik berlaku dalam kelab dan segalanya berubah sekelip mata.

“Saya melihat setiap pemain kini hanya mementingkan masa depan mereka sendiri. Kami bukan lagi sebuah pasukan yang kuat seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Mengulas mengenai prestasi longlai pasukannya, pengendali kelahiran Serbia itu menjelaskan kegagalan mengadakan latihan selama dua minggu nyata memberi kesan besar terhadap tahap kecergasan dan disiplin pemain.

Tegasnya, ketiadaan latihan menyebabkan pemain hilang rentak, sekali gus menyukarkan mereka untuk menentang kelab terkuat di negara ini.

“Bola sepak adalah mengenai konsistensi. Tanpa latihan harian dan persediaan rapi, adalah mustahil untuk bersaing. Kalah 0-2 kepada JDT itu perkara biasa, tetapi bolos sehingga tujuh gol adalah sesuatu yang keterlaluan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Vidakovic turut menyentuh mutu pengadilan yang dianggapnya sedikit goyah selain keputusan melayangkan kad merah yang disifatkan sebagai ‘pembunuh’ kepada rentak permainan.

“Pada babak pertama, kita bermain biasa-biasa sahaja dan selepas insiden kad merah, kita tahu keadaan menjadi sangat sukar dan hanya menunggu masa untuk JDT menjaringkan gol.

“Keputusan itu seolah-olah ‘membunuh’ perlawanan kerana selepas itu, pemain kita tidak langsung melawan. Tiada apa yang menarik untuk disajikan.

“Apapun, saya amat berharap untuk baki dua perlawanan ini, pemain dapat menamatkannya dengan penuh maruah. Pemain perlu sedar mereka bermain untuk nama kelab dan diri sendiri, bukannya untuk saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN