934 pelajar cemerlang SPM Sungai Buloh terima sumbangan

934 pelajar cemerlang SPM Sungai Buloh terima sumbangan

RAMANAN Ramakrishnan ketika bergambar bersama kesemua penerima sumbangan pada Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan pendidikan berjumlah kira-kira RM300,000 pada Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pemberian sumbangan itu diperluaskan kepada pelajar yang memperoleh keputusan 4A dan ke atas berbanding sebelum ini hanya melibatkan penerima 7A ke atas.

Menurut beliau, langkah tersebut dibuat bagi memberi penghargaan kepada lebih ramai pelajar atas usaha dan pencapaian mereka dalam peperiksaan.

“Sebelum ini kita buat hanya untuk 7A ke atas, tetapi tahun ini pelajar yang memperoleh 4A, 5A dan 6A juga turut menerima sumbangan,” katanya selepas program berkenaan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, keputusan peperiksaan bukan penentu mutlak kejayaan seseorang pelajar kerana usaha berterusan dan kerja keras lebih penting dalam membina masa depan.

“Saya sendiri hanya memperoleh 4A ketika SPM. Memang ibu bapa saya marah sebab mereka mahu saya belajar di Oxford atau Cambridge, tetapi saya terus bekerja keras,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai peluang pendidikan dan latihan kemahiran disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia termasuk menerusi institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tambahnya, antara institusi yang boleh diterokai pelajar ialah Advanced Technology Training Centre (ADTEC) yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 95.5 peratus.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, program tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk diraikan atas usaha mereka dalam peperiksaan.

Beliau turut berkongsi pengalaman memperoleh keputusan 5A dalam SPM dan mengakui pernah berasa kecewa apabila melihat rakan-rakan lain melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Yang memperoleh 4A dan 5A juga mampu berjaya sekiranya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Katanya, kejayaan tidak datang bergolek dan setiap pelajar perlu terus berusaha untuk mencapai impian masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN