GAZA: Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam dua serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman dan kenderaan awam di Gaza City semalam, menurut sumber perubatan.
Kejadian berlaku ketika Israel mendakwa melancarkan serangan ke atas ketua sayap bersenjata Hamas di Gaza, Izz al-Din al-Haddad.
Dalam satu kenyataan bersama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, mereka menyasarkan ‘salah seorang arkitek’ serangan 7 Oktober.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Haddad terbunuh.
Hamas belum memberikan sebarang komen, manakala Al Jazeera tidak dapat mengesahkan dakwaan Israel secara bebas.
Sumber perubatan memberitahu agensi Anadolu, tiga daripada mangsa Palestin terbunuh dalam serangan ke atas sebuah kenderaan awam, manakala empat lagi maut dalam serangan ke atas bangunan di kawasan Rimal, barat Gaza City.
Tiga wanita dan seorang kanak-kanak antara yang terbunuh, menurut sumber kepada Al Jazeera. Anadolu pula melaporkan, sekurang-kurangnya 45 orang cedera, dengan beberapa daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
“Menurut saksi di lokasi, serangan itu melibatkan sekurang-kurangnya empat peluru berpandu,” kata wartawan Al Jazeera di Gaza, Ibrahim Al Khalili.
Beliau menambah ‘kebakaran besar’ memusnahkan bangunan kediaman yang disasarkan.
Terdapat panik di tempat kejadian apabila turut terpaksa melarikan diri, kata Al Khalili.
Serangan terbaharu Israel itu berlaku bertepatan dengan ulang tahun ke-78 Nakba, hari peringatan bagi kira-kira 750,000 rakyat Palestin yang diusir dari rumah mereka semasa perang 1948 susulan penubuhan Israel.
Al Khalili menjelaskan, lokasi serangan di barat Gaza City adalah kawasan yang ‘padat’ kerana ramai penduduk berpindah dari timur bandar itu untuk mencari perlindungan daripada pelbagai operasi ketenteraan Israel.
“Peluru berpandu itu dilepaskan tanpa sebarang amaran awal atau pemberitahuan. Kita bercakap tentang sejumlah [kematian], dan kita juga bercakap tentang jumlah besar yang cedera, termasuk keluarga,” kata Basel kepada agensi berita Reuters.










