PETALING JAYA: Pemain remaja dari Negeri Sembilan, Yang Zhen Yu merangkul gelaran sulungnya tahun ini, selepas mengetepikan Joshua Karunagaran untuk muncul juara Perseorangan Lelaki Bawah 16 Tahun pada pusingan kedua Jelajah Elit Remaja AFFIN-100PLUS (JET) 2026 di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.
Dalam pertembungan di pentas akhir itu, Zhen Yu, 16, yang diletakkan sebagai pilihan 3/4 menewaskan wakil Kedah tersebut 21-15, 21-19 dalam masa 50 minit.
Zhen Yu beraksi cemerlang sejak di separuh akhir lagi setelah mengejutkan pilihan pertama, Kieshen Sai Rao Nyanaprakash Rao juga dari Kedah.
Sementara itu, bagi aksi Perseorangan Perempuan Bawah 16 Tahun, Lau Xin En meneruskan rentak konsisten menjulang gelaran keduanya, selepas pemain itu turut memenangi perlawanan akhir pusingan pertama, dua bulan lalu.
Xin En menundukkan wakil tuan rumah, Dayana Farisha Rizuan Sahari 21-16, 22-20 dalam masa 30 minit.
Bagi Dayana Farisha pula, pemain itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mara ke perlawanan akhir buat julung kalinya, selepas dia menyingkirkan pilihan kedua dari Kedah, See Jie Le di separuh akhir, semalam.
Namun, aksi final menyaksikan cabaran yang berbeza sama sekali apabila Dayana Farisha terpaksa berdepan Xin En yang lebih berpengalaman berbanding dirinya. – UTUSAN










