Yusoff persoal tindakan CEO Selangor FC

Yusoff persoal tindakan CEO Selangor FC

Mohd Yusoff Mahadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mempersoalkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang memilih untuk bersuara di luar saluran rasmi berhubung masalah yang dihadapi pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Mohd Yusoff menganggap alasan untuk menegur tidak boleh dijadikan alasan apabila saluran rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Kongres MFL jelas tersedia dan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau menyifatkan detik masa kenyataan itu dikeluarkan sebagai janggal dan sarat tanda tanya, sekali gus mengundang spekulasi berkait kepentingan tertentu yang mungkin terselindung.

“Dia bukan orang baharu, dia tahu platform yang betul. Kalau benar mahu memperbaiki keadaan, kenapa tidak guna saluran itu? Bila pilih untuk bercakap di luar, ia bukan lagi sekadar pandangan profesional, tetapi membuka ruang kepada persepsi yang lebih besar dan mencurigakan.

“Kenapa sekarang? Itu persoalan paling asas. Ia seolah-olah mencari titik noktah negatif dalam suasana yang sedia tegang. Adakah ini berkait dengan agenda pemilihan FAM?

“Adakah kerana ada wakil daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyuarakan hajat mahu bertanding sebagai Presiden FAM dalam pemilihan berkenaan dan ini salah satu langkah awal membina pengaruh dan meraih sokongan?,” katanya.

Terdahulu, Johan menerusi laporan media mencadangkan perbincangan meja bulat perlu dilakukan bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi pasukan Liga M terutama membabitkan isu kewangan yang semakin membimbangkan.

Pendapat itu kemudian disambut oleh beberapa kelab termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Penang FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Kuching City yang bersedia untuk menyertai perbincangan itu demi kelangsungan Liga M.

Mohd Yusoff menegaskan bahawa tindakan menggunakan platform luar untuk mengkritik liga juga boleh dilihat sebagai usaha membina tekanan secara tidak langsung kepada MFL.

“Apabila isu dibawa ke luar, orang akan persoal sama ada ini usaha menutup kelemahan sendiri. Fakta tetap fakta, sepanjang beliau menerajui Selangor FC, pasukan senior masih belum menghadiahkan trofi utama. Itu tidak boleh dipadam dengan retorik.

“Ada kecenderungan membina momentum dari luar, seolah-olah mahu mengheret pihak lain untuk bersama. Kesannya, ia berisiko mencetuskan perpecahan dan menggugat kestabilan liga.

“Kalau niat benar, gunakan platform yang ada. Bukan cari perhatian murahan. 10 tahun kebelakangan ini, kenapa senyap? Kenapa sekarang baru bersuara? Itu yang orang akan nilai,” ujarnya.

Utusan Malaysia cuba menghubungi Johan untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan yang dibuat Mohd Yusoff, namun setakat ini belum mendapat jawapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN